Wednesday, 19 November 2014

Ucapan perasmian Karnival Hari Keluarga & Anugerah Cemerlang SKCBW 2014

Ucapan perasmian yang disampaikan oleh Tuan Hj Ibrahim bin Abdul, Ketua Penolong Pengarah , Bahagian Pengurusan Sekolah Harian ,KPM mewakili YB P.Kamalanathan, Menteri Pendidikan 2 semasa merasmikan "Karnival Hari Keluarga & Anugerah Cemerlang SKCBW 2014" pada 15 November 2014. Terima kasih kepada Tuan Haji kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menulis ucapan ini.



Assalamualaikum dan salam sejahtera

(Senarai nama VIP)

Barisan guru-guru, PIBG sekolah, Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), Ibu Bapa, anak-anak murid yang diraikan dan hadirin-hadirat sekalian

1.      Terlebih  dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan KARNIVAL HARI KELUARGA DAN ANUGERAH CEMERLANG SK CONVENT BWORTH 2014. Alhamdulillah dengan limpah dan kurnia Nya, kita semua dapat berkumpul dalam karnival yang gilang gemilang ini.

2.      Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis seperti ini, yang pasti ia adalah satu majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik.

3.      Pada hari ini, peranan pendidikan telah berubah daripada fungsi asalnya. Murid-murid bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar semata mata tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

4.      Sesuai dengan peredaran zaman, sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan supaya kita dapat melahirkan murid-murid yang cemerlang dan kompeten mencapai standard antarabangsa.

5.      Sasaran membawa pendidikan negara mencapai standard pendidikan berkualiti di peringkat antarabangsa perlu digalas semua pihak. Pelbagai program diperkenalkan Kementerian Pelajaran seperti Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai tambahan kepada PIBG sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penglibatan komuniti dengan sekolah.

6.      Inisiatif ini seperti yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, merupakan salah satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi menyediakan pendidikan yang berkualiti adalah melalui kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

7.      Kerjasama yang ditunjukkan dalam KARNIVAL HARI KELUARGA DAN ANUGERAH CEMERLANG SK CONVENT BWORTH 2014 di SK Convent Bworth hari ini adalah satu contoh yang terbaik kerjasama.

8.      Gabungan PIBG, KSIB dan sekolah dapat membuahkan hasil yang sebegini gilang gemilang dan boleh menjadi model kepada sekolah-sekolah lain.

9.      Karnival sebegini juga dapat memberikan impak besar kepada anak-anak murid kita bila melihat ibu bapa sendiri bersungguh melakukan yang terbaik demi menjamin keselesaan murid dan merancang karnival sebegini yang semestinya akan memberikan kenangan yang terindah kepada mereka selain merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan guru.

10.  Saya percaya sambutan pada hari ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.

11.  Diharapkan semoga program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan sahaja untuk murid yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada peningkatan atau kemajuan.

12.  Anak-anak murid sekalian, segala ini hanyalah untuk menjamin masa depan anak-anak agar lebih cemerlang.

13.  Mungkin ada setengah pihak berkata, karnival sebegini besar akan membuang duit, tetapi apabila kita teliti semula, karnival besar sebegini boleh memberikan isyarat kepada semua pihak termasuk pihak korporat tentang keadaan sekolah yang mana akhirnya boleh membuka mata semua pihak untuk menyumbang kepada sekolah.

14.  Seorang tokoh ilmuwan Islam, Ibnu Rusyd, pernah menukilkan, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". 

15.  Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu dan mengatur langkah berusaha untuk merealisasikan sebuah kejayaan.

16.  Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin antara PIBG, KSIB dan sekolah bak kata peribahasa ‘seperti aur dengan tebing’ adalah satu hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain akhirnya akan mencipta satu jaringan yang menjadikan kecemerlangan akademik yang tinggi sesuatu yang mudah digapai.

17.  Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada PIBGKSIB dan pihak sekolah kerana berjaya bergabung menjalin kerjasama untuk menganjurkan KARNIVAL HARI KELUARGA DAN ANUGERAH CEMERLANG SK CONVENT BWORTH 2014.

18.  Juga tidak lupa setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada semua pelajar-pelajar cemerlang sekolah ini.


Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz 
Bismillahhir­rahmannirahim MERASMIKAN, KARNIVAL HARI KELUARGA DAN ANUGERAH CEMERLANG SK CONVENT BWORTH 2014..


Sekian. Wabillahitaufik walhidayah was­salammualaikum warahmatullahi wabara­katuh dan salam sejahtera.



No comments:

Post a Comment